persaraan bukanlah gurauan

Persaraan Bukanlah Gurauan!

Ketika kita masih muda, menyimpan untuk persaraan agak kelihatan tidak mendesak. Ia seperti sesuatu yang boleh kita tumpukan kemudian, terutamanya dengan adanya komitmen kewangan lain yang lebih perlu dan segera. Walau bagaimanapun, kami ingin menekankan fakta yang tidak boleh disangkal: Persaraan Bukanlah Gurauan!

Mengapa anda perlu menyimpan untuk persaraan?

Kita rakyat Malaysia dijangka hidup sehingga mencapai umur 75 tahun. Namun, kami bersara pada usia 60 tahun. Ini bermakna, kita boleh menjangka untuk hidup sekurang-kurangnya 15 tahun lagi tanpa menerima gaji tetap.

Sesetengah daripada kita bernasib baik kerana menerima pencen bulanan atau boleh bergantung kepada simpanan KWSP. Namun begitu, kajian menunjukkan bahawa hanya dengan memperolehi pencen atau simpanan KWSP kemungkinan tidak mencukupi.

Sebahagian daripada kita mungkin mempunyai anak yang bekerja dan mendapat gaji. Walaupun mereka boleh memberi nafkah kepada kita, adakah kita benar-benar mahu membebankan mereka, terutamanya jika mereka mempunyai anak sendiri untuk dijaga?

Meningkatkan simpanan persaraan anda

Kita bukan hanya perlu menjimatkan wang. Malah, kita perlu mengembangkannya. Caranya adalah dengan melabur simpanan kita. Pilihan yang berdaya maju ialah melabur dalam Skim Unit Amanah (UTS) atau Skim Persaraan Swasta (PRS).

Melabur dalam UTS dan PRS merupakan salah satu bentuk pelaburan yang paling mudah. Ia tidak memerlukan sejumlah wang yang besar, masa ataupun kepakaran.

Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menghubungi Perunding atau Pengedar UTS/PRS. Mereka akan membantu anda untuk melabur simpanan anda ke dalam dana UTS/PRS yang sesuai untuk anda. Pelaburan dana itu kemudiannya akan diuruskan oleh pengurus dana profesional berlesen.

Simpanan untuk persaraan

Satu Aktiviti Jangka Panjang

Ingat bahawa hidup merupakan satu maraton, bukan larian pecut. Jika persaraan anda masih agak lama lagi, ia akan memberi anda lebih banyak masa untuk bersedia menghadapinya. Ini bermakna dana persaraan anda boleh berkembang dengan ketara hanya dengan anda mengetepikan sejumlah wang secara konsisten dan melaburkannya dalam jangka masa yang panjang.

Untuk memaksimumkan simpanan anda, kuncinya adalah dengan memulakan awal. Sama seperti dalam maraton, pada setiap masa, anda harus menjejaki kemajuan anda dan ‘menyegarkan’ diri anda. Apabila gaji anda meningkat, semak semula caruman berkala anda, dan laraskan sewajarnya.

Selepas bersara, kebanyakan daripada kita tidak akan mempunyai gaji tetap lagi. Walau bagaimanapun, perbelanjaan masih kekal. Oleh itu, sasaran simpanan anda haruslah yang dapat mengekalkan gaya hidup masa hadapan yang anda inginkan.

Berapa banyak yang perlu anda simpan?

Anda boleh merujuk kepada kalkulator persaraan. Anda hanya perlu memasukkan butiran yang diminta. Kemudian, kalkulator persaraan akan mengira untuk anda jumlah simpanan yang anda perlukan serta unjuran simpanan yang akan anda miliki berdasarkan jumlah simpanan semasa anda.

Dari situ, anda boleh mengira sebarang kekurangan dan menentukan jumlah yang anda perlu simpan secara tetap.

Konsisten adalah Kuncinya

Ingat, bayar diri anda sendiri dahulu! Selalunya, apabila orang menerima gaji mereka, mereka akan menyimpan apa sahaja baki yang ada selepas menjelaskan bil, cukai, pinjaman, barangan runcit dan perbelanjaan lain. Walau bagaimanapun, amalan ini boleh membawa kepada penjimatan yang tidak konsisten. Sebaik-baiknya, anda memperuntukkan sejumlah yang tetap untuk simpanan persaraan anda terlebih dahulu, sebelum membelanjakan komitmen anda yang lain.

Begitu juga, JANGAN ambil ‘cuti menyimpan’ atau tangguhkan caruman simpanan anda. Anda mesti konsisten!

Adalah wajar sekiranya anda mempertimbangkan untuk berdaftar dengan pelan simpanan biasa apabila melabur dalam UTS/PRS. Pelan ini, secara tetap, akan mengasingkan/mengeluarkan wang secara automatik daripada akaun bank anda dan menyalurkannya kepada pelaburan dalam UTS/PRS. Dengan cara itu, anda boleh memastikan bahawa anda akan konsisten dalam simpanan anda.

Namakan Penama

Pada asasnya, penama ialah individu yang akan mewarisi simpanan/pelaburan anda sekiranya sesuatu berlaku kepada anda. Oleh itu, adalah penting untuk anda memilih penama.

Walaupun anda tidak meletakkan penama, waris terdekat anda masih boleh menerima wang anda. Namun, prosesnya agak lebih sukar dan mahal kerana waris terdekat anda perlu membuktikan kelayakannya. Dengan meletakkan penama, prosesnya akan menjadi lebih mudah dan lebih menjimatkan kos.

Jika anda masih belum membuat penama, anda boleh menghubungi Perunding UTS/PRS sah anda dan dia akan bersedia membantu anda dalam proses tersebut.

Penutup kata

Persaraan sememangnya bukan gurauan! Kita mahu menikmati persaraan dengan selesa dan tanpa sebarang kebimbangan kewangan. Oleh itu, kita mesti mula menabung awal untuk persaraan dan lakukannya dengan cara yang selamat dan berdisiplin.

Scroll to top