perunding unit amanah

Kenali Perunding Unit Amanah

Apabila membicarakan tentang pelaburan, anda sama ada boleh melakukannya sendiri (DIY) atau anda boleh bergantung pada khidmat profesional.

Pendekatan DIY memerlukan anda meluangkan masa untuk mengkaji setiap aset pelaburan dan mencari firma atau platform pembrokeran yang akan membolehkan anda membina portfolio anda sendiri.

Walau bagaimanapun, pendekatan DIY boleh mengambil masa yang agak lama. Ia juga boleh menambah tanggungjawab dan kebimbangan. Dengan melakukannya sendiri, anda akan menjadi lebih sensitif terhadap perubahan dalam pasaran dan anda mungkin berasa tertekan untuk membeli atau menjual aset yang salah pada masa yang kurang sesuai, yang boleh membawa kepada kerugian pelaburan yang besar.

Di samping itu, produk pelaburan tertentu mungkin berada di luar jangkauan anda. Anda juga mungkin perlu mengeluarkan lebih banyak modal daripada yang anda mampu sediakan.

Sementara pilihan kedua, bergantung pada profesional, menawarkan pengalaman pelaburan yang lebih selamat. Untuk melabur dalam Unit Amanah, ini bermakna menggunakan perkhidmatan Perunding Unit Amanah, atau pengurus dana profesional di Syarikat Pengurusan Unit Amanah (UTMC) atau pengedar dana, seperti Penasihat Unit Amanah Institusi (IUTA).

Bagaimana Perunding Unit Amanah boleh membantu anda?

Secara amnya, Perunding Unit Amanah adalah untuk membantu pelabur/pelanggan untuk menentukan objektif pelaburannya dan mencadangkan Unit Amanah yang sesuai kepada pelabur/pelanggan berdasarkan selera risiko masing-masing. Selain itu, Perunding Unit Amanah mampu menyediakan perkhidmatan yang cepat, cekap dan berterusan kepada pelabur/pelanggan mereka.

Ringkasnya, Perunding Unit Amanah mempunyai kemahiran yang diperlukan, pengalaman yang relevan dan sumber khusus untuk membantu anda dengan pelaburan Unit Amanah anda. Mereka boleh membimbing anda ke arah mencapai matlamat kewangan anda dengan membantu anda memilih dana yang tepat dan yang sesuai dengan keperluan anda.

Di samping itu, mereka boleh memperkenalkan pelabur kepada Unit Amanah yang melabur dalam aset/pilihan yang tidak boleh diakses oleh pelabur DIY biasa, sekaligus meningkatkan peluang pelaburan anda.

Jika anda masih tidak pasti untuk meletakkan kepercayaan anda – dan wang anda – untuk dikendalikan oleh orang lain, anda boleh yakin bahawa Perunding Unit Amanah yang sah adalah tertakluk kepada Kod Etika FIMM.

Perunding yang baik harus mempunyai ciri-ciri berikut: kejujuran dan integriti, profesionalisme, bertindak demi kepentingan terbaik pelabur, berurusan dengan pelabur dengan penuh kepercayaan, mematuhi semua keperluan, mengelakkan sebarang konflik kepentingan, menyediakan maklumat yang betul, tepat pada masanya dan mencukupi, dan mengekalkan kerahsiaan pelabur.

Semua ini bertujuan untuk memastikan bahawa tugas utama Perunding Unit Amanah adalah untuk membantu anda mencapai matlamat kewangan anda dengan cara yang terbaik. Syarat dan keperluan yang sama juga terpakai kepada Perunding Skim Persaraan Swasta (PRS).

Manfaat memilih Perunding Unit Amanah

Pelabur kali pertama, atau mereka yang mempunyai matlamat kewangan tertentu, terutamanya akan meraih manfaat daripada nasihat yang disediakan oleh Perunding Unit Amanah. Tugas mereka adalah untuk mendidik anda dan membimbing anda sepanjang perjalanan pelaburan anda.

Perunding Unit Amanah juga mampu memberikan khidmat yang lebih bersifat peribadi, terutamanya bagi pelabur yang masih baharu atau kurang biasa dengan Unit Amanah dan PRS.

Pelabur boleh berhubung dengan Perunding Unit Amanah melalui UTMC, IUTA atau mencari mereka sendiri di internet atau melalui media sosial.

Namun begitu, perlu diingat bahawa semua Perunding Unit Amanah dan PRS adalah dikehendaki berdaftar dengan FIMM sebelum mereka boleh memasarkan dan mengedarkan Unit Amanah dan PRS. Dan adalah mudah untuk menyemak sama ada Jururunding Unit Amanah adalah anda adalah sah.

Dengan melayari laman web FIMM, sesiapa sahaja boleh menyemak sama ada Perunding Unit Amanah telah diberi kuasa oleh FIMM atau tidak. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan mencari nama Perunding Unit Amanah atau nombor pendaftarannya. Selain itu, sesiapa sahaja boleh menghubungi FIMM – hantarkan e-mel kepada info@fimm.com.my untuk membuat pertanyaan atau kepada complaints@fimm.com.my untuk membuat sebarang aduan.

Ini memastikan anda mempunyai jaringan keselamatan ketika anda memulakan perjalanan pelaburan anda. Ia turut memberi jaminan kepada anda bahawa semua kepentingan anda adalah dilindungi.

Memberi keyakinan kepada pelabur

Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai saluran untuk membeli Unit Amanah, dan pelabur yang berasal bahawa mereka tidak memerlukan sebarang nasihat boleh memilih pilihan DIY, tanpa perlu membayar caj jualan atau yuran penasihat.

Salah satu sebab yang paling biasa mereka yang tidak mahu melibatkan diri dengan Perunding Unit Amanah adalah berkaitan dengan meningkatnya jumlah maklumat pelaburan yang tersedia secara percuma melalui internet.

Walau bagaimanapun, Perunding Unit Amanah mampu menyediakan lebih banyak sumber jika dibandingkan dengan pelabur yang melakukannya secara DIY. Disebabkan para pelabur semakin sedar tentang peri pentingnya pengurusan kekayaan peribadi, usaha berterusan dalam meningkatkan kemahiran Perunding Unit Amanah dalam khidmat nasihat (pelaburan berasaskan matlamat) dan khidmat pelanggan (perkhidmatan selepas jualan) akan menambah nilai dan memberi keyakinan kepada pelabur.

Mengenai isu kos, dalam bentuk yuran perundingan, perlu diambil perhatian bahawa semua yuran adalah dinyatakan dengan jelas dalam dokumen penawaran dana (iaitu prospektus), yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Perunding Unit Amanah tidak boleh mengenakan sebarang bayaran yang tidak didedahkan dalam dokumen tawaran.

Tambahan pula, perkhidmatan selepas jualan berterusan daripada Perunding Unit Amanah juga boleh membantu pelabur mencapai matlamat kewangan mereka dengan memantau dan memastikan pelabur dimaklumkan tentang kemajuan pelaburan mereka, dan menyemak portfolio pelaburan dengan kerap dan mengesyorkan apa-apa perubahan sekiranya perlu.

Akhir kata

Pada dasarnya, keputusan sama ada anda ingin meneruskan pelaburan anda berada di tangan anda. Namun begitu, anda mesti memahami objektif pelaburan anda dan melengkapkan diri anda dengan pengetahuan asas pelaburan sebelum anda mula melabur.

Scroll to top